09 February, 2014

JOM KONGSI ILMU KEDAH TUA



Salam Semua.

Mohon keampunan kepada Ilahi atas kelalaian untuk mengemaskini ruang perkongsian ilmu ini.


Tahun ini 2014, genap 5 tahun penemuan dan ekskavasi pertama di Kompleks Sungai Batu oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia.

Sehingga kini, 9 Feb 2014, 46 (47%) daripada 97 tapak yang ditemui semasa pemetaan 2007 telahpun diekskavasi. Kesemua 97 tapak tersebut berada dalam keluasan sekitar 4 km2. Berikut adalah dapatan terbaru di Sungai Batu daripada 46 tapak tersebut, iaitu:

1. Bila? Usia (pentarikhan)

    Sungai Batu telah mula digunakan sejak kurun ke-5 Sebelum Masihi, berterusan, daripada semasa ke semasa, sehingga kurun ke-17 Masihi, iaitu selama 2200 tahun. Ini mengesahkan Kompleks Sungai Batu adalah tamadun tertua di rantau ini.

2. Untuk Apa? Fungsi

    Ekskavasi 2009-2013- telah mengkaji 46 tapak dalam keluasan sekitar 0.2km yang mendedahkan pelbagai fungsi yang jelas menunjukkan sebuah tamadun.

    Satu (1) tapak ritual (penyembahan) di kelilingi oleh 5 senibina dewan.

    Sepuluh (10) tapak jeti di kedua-dua tebing Sungai Batu Kuno- menggambarkan sebuah pelabuhan

    Tujuh belas (17) tapak peleburan besi.

    Selebihnya, 13 tapak senibina bangunan sokongan (bangunan pentadbiran) yang semunya terletak di bahagian  barat pelabuhan Sungai Batu kuno.

Sejak 5 tahun yang lalu, disamping staf dan pelajar USM, kajian juga melibatkan masyarakat setempat sebagai pembantu di lapangan. Pada masa ini 11 pekerja tempatan sedang dilatih dalam program khas USM “Program Pemindahan Ilmu” di mana mereka didedahkan secara berfokus kepada arkeologi dan industri yang berkaitan dengannya seperti arkeopelancongan dan kraf tangan.

Untuk peringkat Sekolah Menengah, USM telah mengadakan program Sahabat@Arkeologi yang kini telah melibatkan 11 sekolah menengah di Pulau Pinang dan Kedah. Di bawah program ini, guru dan pelajar didedahkan kepada arkeologi melalui pameran di sekolah dan USM, seminar, ceramah dan juga terlibat dalam sukarelawan arkeologi di mana mereka didedahkan aktiviti di Sungai Batu.

Untuk peringkat USM, mulai 2013, USM telah mengadakan satu program khas “Archaeological Talk” oleh pakar-pakar arkeologi peringkat antarabangsa. Tahun 2013, dua ceramah yang melibatkan pakar daripada Pakistan dan Jerman telah diadakan. Program ini terbuka kepada semua malah Sahabat@Arkeologi juga telah menyertainya.

Untuk tahun ini, 2014, semua program di atas akan berterusan. Satu program baru akan bermula tahun ini iaitu “JOM CARI KEDAH TUA” yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kedah sendiri. Program pertama akan bermula daripada 28 Feb -1 Mac ini. Ini adalah satu program sukarelawan yang akan mendedahkan peserta kepada bukti Kompleks Sungai Batu.

Untuk semua, PPAG mengalu-alukan mana-mana individu dan kumpulan/agensi yang mahu terlibat sama dalam bentuk sukarelawan arkeologi di Sungai Batu.

Sila hantar surat kepada:

Pengarah
Pusat Penyelidikan  Arkeologi Global
USM, 11800 PPinang.


KOMPLEKS SUNGAI BATU: FUNGSI


 13 Tinggalan Senibina Pusat Pentadbiran di Kompleks Sungai Batu. Semuanya terletak di bahagian barat pelabuhan kuno Sungai Batu. Ianya sebuah kompleks pengurusan kepada pelabuhan kuno tersebut. Empat daripada bangunan ini berusia kurun ke-5 Sebelum Masihi.


Senibina Ritual/Penyembahan yang di kelilingi senibina dewan. Mempunyai tangga naik yang mengadap ke utara, yang juga lokasi Gunung Jerai. Usia monumen 110 Masihi. Usia, turutan senibina, arah naik mencadangkan asal fungsinya ialah untuk upacara ritual penyembahan Gunung Jerai- iaitu kepercayaan animisma- penyembahan alam semulajadi- satu agama nenek moyang zaman dahulu kala.


Senibina Jeti tepi Sungai Batu Kuno. Sehingga kini telah dibuka 10 jeti di kedua tebing Sungai Batu Kuno. Ini mencadangkan ianya sebuah pelabuhan yang sangat sebok pada ketika itu.


Pusat Peleburan Besi di Kompleks Sungai Batu. Sehingga kini 17 tapak peleburan besi telah dikaji. Bukti menunjukkan besi mula dilebur di Kompleks Sungai Batu sejak kurun ke-4 Sebelum Masihi.






    

3 comments:

betel said...

Terima kasih, dah lama menanti..

betel said...

terima kasih, dah lama menunggu.

Tarmizi Azizah said...

Tahniah....
Selepas sekian lama menanti perkembangan dari admin, akhirnya ada berita untuk tatapan semua.

Penemuan yang sangat menarik dan saya yakin...sejarah tamadun yang diketahui setakat hari akan berubah dengan penemuan ini.