09 February, 2014

JOM KONGSI ILMU KEDAH TUA



Salam Semua.

Mohon keampunan kepada Ilahi atas kelalaian untuk mengemaskini ruang perkongsian ilmu ini.


Tahun ini 2014, genap 5 tahun penemuan dan ekskavasi pertama di Kompleks Sungai Batu oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia.

Sehingga kini, 9 Feb 2014, 46 (47%) daripada 97 tapak yang ditemui semasa pemetaan 2007 telahpun diekskavasi. Kesemua 97 tapak tersebut berada dalam keluasan sekitar 4 km2. Berikut adalah dapatan terbaru di Sungai Batu daripada 46 tapak tersebut, iaitu:

1. Bila? Usia (pentarikhan)

    Sungai Batu telah mula digunakan sejak kurun ke-5 Sebelum Masihi, berterusan, daripada semasa ke semasa, sehingga kurun ke-17 Masihi, iaitu selama 2200 tahun. Ini mengesahkan Kompleks Sungai Batu adalah tamadun tertua di rantau ini.

2. Untuk Apa? Fungsi

    Ekskavasi 2009-2013- telah mengkaji 46 tapak dalam keluasan sekitar 0.2km yang mendedahkan pelbagai fungsi yang jelas menunjukkan sebuah tamadun.

    Satu (1) tapak ritual (penyembahan) di kelilingi oleh 5 senibina dewan.

    Sepuluh (10) tapak jeti di kedua-dua tebing Sungai Batu Kuno- menggambarkan sebuah pelabuhan

    Tujuh belas (17) tapak peleburan besi.

    Selebihnya, 13 tapak senibina bangunan sokongan (bangunan pentadbiran) yang semunya terletak di bahagian  barat pelabuhan Sungai Batu kuno.

Sejak 5 tahun yang lalu, disamping staf dan pelajar USM, kajian juga melibatkan masyarakat setempat sebagai pembantu di lapangan. Pada masa ini 11 pekerja tempatan sedang dilatih dalam program khas USM “Program Pemindahan Ilmu” di mana mereka didedahkan secara berfokus kepada arkeologi dan industri yang berkaitan dengannya seperti arkeopelancongan dan kraf tangan.

Untuk peringkat Sekolah Menengah, USM telah mengadakan program Sahabat@Arkeologi yang kini telah melibatkan 11 sekolah menengah di Pulau Pinang dan Kedah. Di bawah program ini, guru dan pelajar didedahkan kepada arkeologi melalui pameran di sekolah dan USM, seminar, ceramah dan juga terlibat dalam sukarelawan arkeologi di mana mereka didedahkan aktiviti di Sungai Batu.

Untuk peringkat USM, mulai 2013, USM telah mengadakan satu program khas “Archaeological Talk” oleh pakar-pakar arkeologi peringkat antarabangsa. Tahun 2013, dua ceramah yang melibatkan pakar daripada Pakistan dan Jerman telah diadakan. Program ini terbuka kepada semua malah Sahabat@Arkeologi juga telah menyertainya.

Untuk tahun ini, 2014, semua program di atas akan berterusan. Satu program baru akan bermula tahun ini iaitu “JOM CARI KEDAH TUA” yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kedah sendiri. Program pertama akan bermula daripada 28 Feb -1 Mac ini. Ini adalah satu program sukarelawan yang akan mendedahkan peserta kepada bukti Kompleks Sungai Batu.

Untuk semua, PPAG mengalu-alukan mana-mana individu dan kumpulan/agensi yang mahu terlibat sama dalam bentuk sukarelawan arkeologi di Sungai Batu.

Sila hantar surat kepada:

Pengarah
Pusat Penyelidikan  Arkeologi Global
USM, 11800 PPinang.


KOMPLEKS SUNGAI BATU: FUNGSI


 13 Tinggalan Senibina Pusat Pentadbiran di Kompleks Sungai Batu. Semuanya terletak di bahagian barat pelabuhan kuno Sungai Batu. Ianya sebuah kompleks pengurusan kepada pelabuhan kuno tersebut. Empat daripada bangunan ini berusia kurun ke-5 Sebelum Masihi.


Senibina Ritual/Penyembahan yang di kelilingi senibina dewan. Mempunyai tangga naik yang mengadap ke utara, yang juga lokasi Gunung Jerai. Usia monumen 110 Masihi. Usia, turutan senibina, arah naik mencadangkan asal fungsinya ialah untuk upacara ritual penyembahan Gunung Jerai- iaitu kepercayaan animisma- penyembahan alam semulajadi- satu agama nenek moyang zaman dahulu kala.


Senibina Jeti tepi Sungai Batu Kuno. Sehingga kini telah dibuka 10 jeti di kedua tebing Sungai Batu Kuno. Ini mencadangkan ianya sebuah pelabuhan yang sangat sebok pada ketika itu.


Pusat Peleburan Besi di Kompleks Sungai Batu. Sehingga kini 17 tapak peleburan besi telah dikaji. Bukti menunjukkan besi mula dilebur di Kompleks Sungai Batu sejak kurun ke-4 Sebelum Masihi.






    

11 September, 2011

Arkeologi Sungai Batu: Kajian Fasa 3- 2011


Peta Kompleks Tamadun Sungai Batu yang menunjukkan 
setiap tapak yang telah diekskavasi sejak 2009-2011

Ekskavasi Fasa 3-2011 telah menggunakan geran USM dan Jabatan Warisan Negara/Yayasan Al-Bukhary. Fasa 3 telah mendedahkan 12 tinggalan struktur binaan (warna biru) yang dijangka berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Kebanyakannya yang masih jelas dilihat ialah struktur lantai. Disamping itu, juga ditemui tinggalan dinding, lapik tiang, pecahan atap genting dll. Berdasarkan geomorfologi kawasan di sekeliling 12 struktur senibina ini dijangka ianya di kelilingi oleh air.

 Data pentarikhan sehingga kini hanya diperolehi daripada arang (radiokarbon). Semua data bata (kaedah OSL/TL) masih belum diterima lagi. Arang lebih menggambarkan aktiviti yang telah berlangsung di bangunan ini berbanding bata akan memberikan tarikh bila ianya dibuat. Walau bagaimanapun, ada antara tarikh arang telah memberikan tarikh pada kurun pertama Masihi, iaitu di tahun 50CE.

16 gambar di bawah adalah antara gambar di 12 tinggalan struktur senibina tersebut- meliputi lantai, sebahagian dinding, lapik tiang dll. Kajian rekonstruksi semula kesemua bangunan tersebut sedang dilakukan. Ada struktur bangunan yang mempunyai ruang bilik. Penemuan ini sangat penting dalam mengkaji rupabentuk senibina kawasan pentadbiran kompleks Sungai Batu.

Secara umumnya, kajian di Fasa-3: 2011 ini telah dapat melengkapkan tamadun Sungai Batu yang sebelum ini (2009-2010) telah ditemui bukti peleburan besi, jeti sungai dan bangunan upacara.

struktur lantai berlapis

                            
                                         tinggalan lantai dan dinding mengasingkan 2 ruang

lapik tiang

dinding

dinding dan lantai yang menunjukkan kehadiran ruang bilik

dinding tengah

tangga bertingkat

kemungkinan tiang bata yang telah tumbang

pengasingan ruang

pelbagai saiz bata yang telah digunakan

laluan antara dua ruang

lantai drp pelbagai saiz bata

lantai- gabungan bentuk lurus dan membulat

bata kedudukan menegak- mungkin tiang yg tumbang atau bahagian pengasingan ruang

susunan bahagian pengasingan ruang

susunan bata berlapis dan bertingkat

16 May, 2011

Kemaskini Sungai Batu 16 Mei 2011- Selamat Hari Guru, Tanpa Guru Siapalah Kita

Taburan Struktur Senibina di Asia Tenggara: Perbandingan Usia dengan Sungai Batu. Keunikan Monumen Sungai Batu ialah satu-satunya senibina yang bermula dengan bentuk bulatan di dunia ini dan yang tertua di rantau ini

Bentuk mukabumi seluruh Lembah Bujang sekarang yang mulai terbentuk sekitar abad ke-14 Masihi. Bandingkan dengan peta di bawah untuk mendapatkan gambaran lebih jelas perubahan sekitaran yang berlaku di Lembah Bujang sejak abad pertama masihi.

Bentuk mukabumi Lembah Bujang pada abad pertama  hingga 3 masihi. Mempunyai teluk yang luas dan petunjuk alam yang jelas (Gunung Jerai) menggamit pelayar untuk singgah di Lembah Bujang. Majoriti tapak di Pengkalan Bujang,
dan Sungai Mas masih berada di bawah air/paya bakau pada masa ini, dan jelas muara sungai merbok pada ketika ini ialah di sungai batu. 

"Tuyere" iaitu alat yg digunakan untuk membawa angin ke dalam relau di gambar ini diletakkan dalam keadaan tegak. Apabila dibandingkan dengan di Afrika, rupanya kedudukan ini menggambarkan lokasi penyembahan sebelum memulakan peleburan besi. Bandingkan dengan gambar di bawah?  Di Afrika, tuyere yang tegak ini diisikan dengan samada abu mayat atau tanah liat istimewa.

Lokasi longgokan tuyere yang bertaburan tanpa arah tertentu. Mungkin stor tuyere mereka? atau sisa tuyere? berbeza drp kedudukan di dalam gambar di atas. 

Contoh lantai salah satu tapak jeti tepi sungai batu kuno. Biasanya disusun 2 baris bata dengan diselangi oleh pecahan bata. mungkin bahagian pecahan sebagai kawasan serapan air? Senibina ada bukti lapik tiang dan pecahan atap genting.

Contoh lain lantai jeti-  juga ditemui bukti lapik tiang, tiang bata yang telah runtuh, tinggalan dinding dan tangga 


Jeti 2B dan 2D, berdekatan tapi jelas bukan satu bangunan. Mungkin bukan sezaman? Pentarikhan sedang diuji. Kedua-duanya berada di gigi/tebing Sungai Batu kuno 

Sebelah kanan (tapak jeti 2B dan 2D) dan sebelah kiri (tapak jeti 2F). Ini menunjukkan kedua-dua belah tebing sungai batu kuno telah digunakan. Tapak 2B dan 2D menghampiri tapak peleburan besi- maka mungkin tempat turun naik aktiviti industri peleburan besi (bahan mentah, bahan akhir untuk eksport, pekerja dll), manakala 2E menghampiri tapak struktur senibina yang mungkin pusat pentadbiran (sedang diekskavasi- ada struktur bilik yang jelas)

Lakaran tidak mengikut skala dan rekabentuk sebenar jeti Sg Batu kuno. Hanya untuk memberikan gambaran kedua-dua belah tebing digunakan. Ini menunjukkan betapa seboknya Sg Batu kuno pada ketika itu.


Struktur senibina jeti 2E
Contoh lantai pada tapak jeti 2E

Struktur senibina jeti 1J





Struktur senibina jeti 1A

Lakaran tanpa skala struktur jeti di kedua belah tebing di Sungai Batu kuno yang telah didedahkan dalam ekskavasi 2009-2010-2011

08 March, 2011

Sungai Batu di Lembah Bujang

Sungai Batu terletak dalam tamadun Lembah Bujang yang juga dikenali sebagai Kedah Tua. 
Kedah Tua dikenali dengan pelbagai nama seperti Kataha, Kataram, Kalah, Chieh-Cha, Quedah dan banyak lagi. Bukti tentang Kedah Tua ditemui melalui tulisan atau dokumen seperti dalam rekod pelayaran dan perdagangan serta melalui kajian arkeologi. 


*Lokasi Lembah Bujang di Semenanjung Malaysia


*Peta taburan 97 tapak (titik merah) di Sungai Batu

Kajian  pada tahun 2008 bermula dengan jumpaan permukaan berupa bata di dalam ladang kelapa sawit. Sebanyak 10 tapak telah dikaji pada 2009, 6 tapak (2010), dan pada 2011 sedang mengkaji 4 tapak. Daripada 20 tapak yang dikaji, 4 mendedahkan bengkel peleburan besi, 8 bukti senibina jeti tepi sungai, 1 jelas senibina bangunan upacara dengan dikelilingi oleh 4 senibina berbentuk dewan dan 3 yang terbaru mendedahkan bangunan pentadbiran.

Industri Peleburan Besi

4 daripadanya adalah industri peleburan besi. Bukti yang didapati ialah sisa besi, bahan mentah (hematit dan magnetit), ketulan besi merupai jongkong, juga ditemui 'tuyere', pecahan atau tinggalan relau, abu dan arang pembakaran. Sampel arang telah dihantar ke Makmal Radiokabon untuk ditentukan tarikhnya. Keputusannya sehingga kini menunjukkan Sungai Batu telah dijadikan kawasan industri (lebih 20 tapak yang telah dipetakan) peleburan besi sejak abad pertama Masihi (2000 tahun dahulu) hingga abad 13 Masihi (800 tahun dahulu)


Kajian di Sungai Batu belum menemui relau yang lengkap. Semuanya didapati pecah, yang tinggal hanya bekas bahagian dasar sahaja. Penemuan relau lengkap dengan 'tuyere' di Kampung Gading, Jeniang telah memberikan kemungkinan gambaran rupa bentuk relau di Sungai Batu. Arang dan sedimen terbakar dalam dan keliling relau di Jeniang ini memberikan pentarikhan dari abad ke-4 Masihi (1600 tahun dahulu) -12 Masihi (800 tahun dahulu).  Ini menunjukkan pada jarak 40 km antara Sungai Batu dan Jeniang, telah berlansung industri peleburan besi pada masa yang agak sama. Jarak ini menggambarkan keluasan tamadun berasaskan besi ini mencapai lebih 1000 km persegi.



* Relau tanah liat bersama 'tuyere' yang masih lengkap ditemui di Kampung Gading, Jeniang, sekitar 40km ke timur laut Sungai Batu. Ianya memberikan gambaran kemungkinan bentuk relau di Sungai Batu. Selain 'tuyere' (anak panah merah), relau mempunyai mulut di bahagian atas dan bawah (anak panah putih)





  *Antara alat besi yang ditemui di tapak peleburan Sungai Batu



Monumen Sungai Batu

Kajian di Sungai Batu juga menemukan beberapa jenis senibina yang dibuat daripada bata. Analisis petrografi menunjukkan bata ini dibuat daripada tanah liat sekitar Sungai Batu. 



*MONUMEN TERTUA di Asia Tenggara dan SATU-SATUNYA Senibina di Dunia yang
ASASNYA BERBENTUK BULAT.
(Berdasarkan hasil perbincangan Seminar Antarabangsa Lembah Bujang pada
Julai 2010 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur)

Monumen Sungai Batu ialah MONUMEN TERTUA DI ASIA TENGGARA yang mempunyai pentarikhan mutlak dan satu-satunya Senibina di Dunia yang ASASNYA BERBENTUK BULAT. Asas berbentuk bulat ini menunjukkan ia TIDAK MELAMBANGKAN  bangunan upacara Agama/fahaman Buddha atau Hindu (bermula dengan empat segi kemudian di atasnya baru bentuk bulat). Bata daripada senibina dasar yang berbentuk bulat tersebut telah memberikan tarikh 1,900-1,800 tahun dahulu (dengan kaedah OSL- pendar kilau optik- yang memberikan tarikh bata dibuat).


Berdasarkan industri besi yang digunakan sejak abad pertama hingga ke-13 Masihi, maka bangunan yang diekskavasi se dalam 1.5 m ini sudah tentu digunakan daripada semasa ke semasa sepanjang tempoh tersebut. 




Kajian arkeologi dan konservasi tapak Monumen Sungai Batu pada kedalaman 1.5m
dan gambar sebelahnya ialah bata yang ada resin (damar) yang mungkin menjadi bahan 'simen' untuk melekatkan antara bata

Senibina Jeti atau Pengkalan Tepi Sungai

Kajian dikedua-dua belah tebing Sungai Batu kuno menemukan struktur senibina jeti atau pengkalan yang juga dibina daripada bata. Bata disusun membentuk lantai, tembok, tiang dan juga tangga menurun sungai. Bukan satu, tapi kini telah ditemui 8 jeti. Ada jeti yang jelas banyak temuan atap genting yang menunjukkan ianya berbumbung. Tarikh OSL bata jeti menunjukkan ianya dibina pada abad ke-2-3 Masihi. 



Struktur senibina jeti tepi Sungai Batu kuno- ada lantai, tembok, runtuhan tiang
dan tangga menurun ke sungai.



                                                  




Perkembangan kajian masa depan akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia.