08 March, 2011

Sungai Batu di Lembah Bujang

Sungai Batu terletak dalam tamadun Lembah Bujang yang juga dikenali sebagai Kedah Tua. 
Kedah Tua dikenali dengan pelbagai nama seperti Kataha, Kataram, Kalah, Chieh-Cha, Quedah dan banyak lagi. Bukti tentang Kedah Tua ditemui melalui tulisan atau dokumen seperti dalam rekod pelayaran dan perdagangan serta melalui kajian arkeologi. 


*Lokasi Lembah Bujang di Semenanjung Malaysia


*Peta taburan 97 tapak (titik merah) di Sungai Batu

Kajian  pada tahun 2008 bermula dengan jumpaan permukaan berupa bata di dalam ladang kelapa sawit. Sebanyak 10 tapak telah dikaji pada 2009, 6 tapak (2010), dan pada 2011 sedang mengkaji 4 tapak. Daripada 20 tapak yang dikaji, 4 mendedahkan bengkel peleburan besi, 8 bukti senibina jeti tepi sungai, 1 jelas senibina bangunan upacara dengan dikelilingi oleh 4 senibina berbentuk dewan dan 3 yang terbaru mendedahkan bangunan pentadbiran.

Industri Peleburan Besi

4 daripadanya adalah industri peleburan besi. Bukti yang didapati ialah sisa besi, bahan mentah (hematit dan magnetit), ketulan besi merupai jongkong, juga ditemui 'tuyere', pecahan atau tinggalan relau, abu dan arang pembakaran. Sampel arang telah dihantar ke Makmal Radiokabon untuk ditentukan tarikhnya. Keputusannya sehingga kini menunjukkan Sungai Batu telah dijadikan kawasan industri (lebih 20 tapak yang telah dipetakan) peleburan besi sejak abad pertama Masihi (2000 tahun dahulu) hingga abad 13 Masihi (800 tahun dahulu)


Kajian di Sungai Batu belum menemui relau yang lengkap. Semuanya didapati pecah, yang tinggal hanya bekas bahagian dasar sahaja. Penemuan relau lengkap dengan 'tuyere' di Kampung Gading, Jeniang telah memberikan kemungkinan gambaran rupa bentuk relau di Sungai Batu. Arang dan sedimen terbakar dalam dan keliling relau di Jeniang ini memberikan pentarikhan dari abad ke-4 Masihi (1600 tahun dahulu) -12 Masihi (800 tahun dahulu).  Ini menunjukkan pada jarak 40 km antara Sungai Batu dan Jeniang, telah berlansung industri peleburan besi pada masa yang agak sama. Jarak ini menggambarkan keluasan tamadun berasaskan besi ini mencapai lebih 1000 km persegi.



* Relau tanah liat bersama 'tuyere' yang masih lengkap ditemui di Kampung Gading, Jeniang, sekitar 40km ke timur laut Sungai Batu. Ianya memberikan gambaran kemungkinan bentuk relau di Sungai Batu. Selain 'tuyere' (anak panah merah), relau mempunyai mulut di bahagian atas dan bawah (anak panah putih)





  *Antara alat besi yang ditemui di tapak peleburan Sungai Batu



Monumen Sungai Batu

Kajian di Sungai Batu juga menemukan beberapa jenis senibina yang dibuat daripada bata. Analisis petrografi menunjukkan bata ini dibuat daripada tanah liat sekitar Sungai Batu. 



*MONUMEN TERTUA di Asia Tenggara dan SATU-SATUNYA Senibina di Dunia yang
ASASNYA BERBENTUK BULAT.
(Berdasarkan hasil perbincangan Seminar Antarabangsa Lembah Bujang pada
Julai 2010 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur)

Monumen Sungai Batu ialah MONUMEN TERTUA DI ASIA TENGGARA yang mempunyai pentarikhan mutlak dan satu-satunya Senibina di Dunia yang ASASNYA BERBENTUK BULAT. Asas berbentuk bulat ini menunjukkan ia TIDAK MELAMBANGKAN  bangunan upacara Agama/fahaman Buddha atau Hindu (bermula dengan empat segi kemudian di atasnya baru bentuk bulat). Bata daripada senibina dasar yang berbentuk bulat tersebut telah memberikan tarikh 1,900-1,800 tahun dahulu (dengan kaedah OSL- pendar kilau optik- yang memberikan tarikh bata dibuat).


Berdasarkan industri besi yang digunakan sejak abad pertama hingga ke-13 Masihi, maka bangunan yang diekskavasi se dalam 1.5 m ini sudah tentu digunakan daripada semasa ke semasa sepanjang tempoh tersebut. 




Kajian arkeologi dan konservasi tapak Monumen Sungai Batu pada kedalaman 1.5m
dan gambar sebelahnya ialah bata yang ada resin (damar) yang mungkin menjadi bahan 'simen' untuk melekatkan antara bata

Senibina Jeti atau Pengkalan Tepi Sungai

Kajian dikedua-dua belah tebing Sungai Batu kuno menemukan struktur senibina jeti atau pengkalan yang juga dibina daripada bata. Bata disusun membentuk lantai, tembok, tiang dan juga tangga menurun sungai. Bukan satu, tapi kini telah ditemui 8 jeti. Ada jeti yang jelas banyak temuan atap genting yang menunjukkan ianya berbumbung. Tarikh OSL bata jeti menunjukkan ianya dibina pada abad ke-2-3 Masihi. 



Struktur senibina jeti tepi Sungai Batu kuno- ada lantai, tembok, runtuhan tiang
dan tangga menurun ke sungai.



                                                  




Perkembangan kajian masa depan akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia.